"Dalam kehidupan ini, orang yang paling bahagia ialah, orang yang tahu tujuan sebenar sebuah kehidupan"
Apabila seseorang mengetahui, bahawasanya hidup ini suatu perjalanan, pasti dia perlu mengetahui juga, apakah tujuan sebuah perjalanan ini? Jika tidak, dia ibarat seorang musafir yang tersesat di tengah-tengah gurun sahara, yang tidak tahu ke mana ingin dituju.
Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah, seseorang lahir ke dunia, tidak pernah atas kehendak dan pilihannya sendiri. Dia tidak wujud di dunia ini, atas keinginannya untuk hidup. Suatu hari nanti juga, dia tidak pernah mati atas pilihannya sendiri, tetapi ajal yang menjemputnya pergi.
Jadi, sudah pasti, orang yang berakal, mampu memahami di sebalik hakikat ini, bahawasanya, ada Sang Maha Pencipta, yang sebenarnya mengatur kehidupannya. DIALAH yang menciptakannya, dan seluruh alam ini. Apa yang pasti, DIALAH juga yang menganugerahkan kepadanya sebuah kehidupan, yang penuh dengan nilai yang diletakkan olehNya.
DIALAH ALLAH (هو الله)
DIALAH ALLAH… Dialah Tuhan yang menciptakan segala sesuatu. Dialah yang menciptakan manusia dan kehidupan mereka, demi sebuah nilai yang agung. Dialah Allah s.w.t., di sebalik apa yang kamu perhatikan daripada seluruh alam ini.
Allah s.w.t. berfirman mengenai hal ini:
Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, Kemudian Dialah mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai buah-buahan menjadi rezki untukmu; dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu, berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah mengalirkan (pula) bagimu sungai-sungai. [32.] Dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya); dan Dia juga telah menundukkan bagimu malam dan siang. [33.] Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah). [34] (Surah Ibrahim: 32-34)
Ayat ini mengajak manusia merenung sejenak, suatu hakikat di sebalik sebuah perjalanan kehidupan manusia, dan di sebalik keindahan alam yang menjadi medan perjalanan kehidupan mereka. Ayat ini menyeru ke arah kefahaman yang sebenar tentang hakikat diri manusia dan seluruh alam di sekeliling manusia ini.
Hakikatnya, di sebalik seluruh alam ini, wujud Allah s.w.t., Tuhan yang menciptakan segala sesuatu dan mentadbirkan seluruh alam ini. Dialah Tuhan yang Maha Berkuasa, yang mana, seluruh kewujudan alam ini, merupakan antara bukti kewujudan dan keagunganNya.
Alam yang penuh keindahan, serta sistem cakerawala yang sungguh tertib dan tersusun, menjadi petunjuk kepada kewujudan dan keagungan Allah s.w.t., Tuhan yang menciptakan sekalian alam, termasuklah manusia. Namun, hanya orang-orang yang berakal sahaja, yang mampu merenungkan bahawasanya, seluruh alam ini, merupakan bukti kewujudan dan keagungan Allah s.w.t..
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan. (Surah Al-Baqarah: 164)
Dalam ayat ini, Allah s.w.t. menjelaskan bahawa, dalam seluruh kejadian alam ini, ada petanda yang menunjukkan akan kebesaran dan keagungan Allah s.w.t., bagi orang-orang yang mahu memikirkannya dan merenungkannya.
Adapun orang-orang yang leka dengan kepalsuan duniawi, dan sibuk bertuhankan hawa nafsu sendiri, pasti tidak mahu mengerti dan merenungi bahawasanya, di sebalik kejadian alam ini, wujudnya Allah s.w.t. yang merupakan Tuhan yang Menciptakan segala-galanya termasuklah diri mereka sendiri.
Golongan yang cuba mengingkari hakikat bahawasanya di sebalik kewujudan diri mereka, dan di sebalik kewujudan seluruh alam ini, ada Tuhan yang Maha Pencipta, iaitu Allah s.w.t., mereka sebenarnya cuba melawan fitrah diri mereka sendiri yang sememangnya mengakui wujudnya Allah s.w.t di sebalik kehidupan mereka.